Bukan Terlarang~novel~ Friday, July 20, 2012 - Permalink - 0 Comments
1
Di sebalik majalah yang sedang dibaca, matanya menjeling ke arah Imran yang sedang duduk di atas sofa bertentangan dengan nya. Sesekali lelaki itu berpaling ke arah pintu bilik berhampiran tingkap. Memerhati dan menanti kekasihnya yang sedang bersiap untuk keluar makan malam. Dia bagaikan terleka. Memerhatikan dengan asyik raut wajah Imran. Wajah yang segak dengan kumis nipis yang terjaga rapi. Dalam keadaan apa pun, Imran sentiasa berpakaian kemas, menampakkan karisma seorang lelaki. Gaya seorang lelaki yang membuatkan hati wanitanya bergetar.
“Sara, apa yang kau renung? Ada yang tak kena ke?” Hampir terlepas majalah di tangannya dengan sergahan kecil Imran. Terasa pucat wajahnya membalas pandangan lelaki itu. Dia terkaku dan gugup seketika.
“Kau tengok aku macamlah baru pertama kali kita bertemu. Kita dah berkawan dari kecil, Sara. Handsome sangatkah aku, sampai kau renung aku macam tu?” terselit ketawa dalam kata-kata Imran.
Berdetak jantung Maisarah dengan soalan Imran, biarpun lelaki itu cuma bergurau. Imran seakan dapat membaca rahsia hatinya, walaupun hanya sekadar perasaannya sendiri. Kalut seminit jiwanya. Perlahan, dia menghela nafas panjang.
“Perasan!” Maisara mencebik. Nafasnya di tarik dalam, mencari semangat dirinya yang melayang oleh sergahan Imran sebentar tadi.”Aku nampak... rambut kau lain. Kau potong rambut, Imran?” soalnya dengan teraga-agak.
Imran tersenyum sambil mengusap rambutnya dengan tangan kiri. “Perasan pula kau. Aku Cuma potong sikit aje. Tina tak kata apa-apa pun.
Maisara tersenyum nipis. Jawapan yang diberikan bertepatan biarpun bukan itu yang bermain dalam fikirannya. Mujurlah Imran tidak menyalah tafsirkannya. Jika tidak dia malu sendiri.
“Apa, kau tak puas lagi tengok aku?” Usikan Imran membuatkan sekali lagi dia terkaku. Seakan kelu lidahnya untuk berkata. Bibirnya mengukir senyuman tawar.
“Inilah perempuan, bersiap sahaja dah tiga empat jam,” ujur Imran seraya sekali lagi berpaling ke arah bilik tina. Jam di tangan dijeling sekali lagi.
“Salahnya kau juga. Kenapa tak beritahu awal-awal nak bawa dia keluar?” Maisara menutup majalah yang dibaca dan menghadap wajah Imran. “Dah tahu orang perempuan lambat bersiap, beritahu awal-awal,” tokoknya.
“Perempuan! Mestilah nak bela kaumnya,” cebik Imran.
“Kalau bukan kaum sendiri yang bela, siapa lagi, kan?” balas Maisara sambil menggelipkan matanya. Imran sekadar tertawa kecil.
“Imran, kau nak balik tak majlis kahwin Huda bulan depan?” tanya Maisara sambil memandang Imran yang sekali lagi berpaling kearah bilik tina. Entah sudah kali ke berapa Imran berpaling ke arah itu.
“Tak tahu lagi. Tengoklah dulu,” Imran menjawap malas.
“Mana boleh tengok-tengok, Huda tukan sepupu kau. Kecil hati dia kalau kau tak balik. Lagi pun, ini hari bahagianya,” Maisara mengingatkan.
“Kau nak balik?” tanya Imran pula kepada Maisara. Muka Maisara dipandangnya.
“Mestilah balik. Huda tu kawan aku. Lagipun dah lama aku tak balik kampung. Tak tengok mak,ayah dan adik-adik,” katanya dalam ketawa kecil. “Kau pun, baliklah sekali. Kan dah lama kau tak balik kampung.”
“Kalau balik pun, mungkin ajak Tina sekali. Kenalkan dengan mak dan ayah aku. Macam mana pendapat kau?” Imran bertanya.
“Baguslah tu. Elok juga,” jawapnya dengan suara yang mendatar. Cuba dilontar jauh-jauh perasaan halus yang bertandang.
Pintu bilik terkuak. Wangiannya semerbak menusuk hidung. Tina melangkah dengan senyuman menghampiri sofa di ruang tamu. Imran bangun dan tersenyum bangga memandang Tina. Mungkin bangga dengan kejelitaan gadis itu. Malam itu Tina mengenakan blaus putih cerah dan seluar labuh berwarna hijau lumut. Rambutnya yang ikal dilepas bebas. Wajah manis itu agak tebal mengenakan mekap.
“Sorrylah. Lama tunggu?” Tina melirik dengan senyuman.
“Tak adalah lama sangat,” Imran menjawap dalam senyuman. Sempat dikerlingnya Maisara yang mencebirkan. Tak lama mana konon! Maisara berkata dalam hati.
“Lama pun tak apa, sebab awak cantik sangat malam ni,” ujar Imran lagi. Matanya masih melekap pada wajah Tina.
Tina mengerling manja. Sesaat dirapatkan tubuhnya ke tubuh Imran tanda terima kasih atas pujian yang diberikan.
“Mari kita pergi sekarang.” Tina memegang lengan Imran.
“Pergi dulu, sara,” kata Imran kepada Maisara yang turut melangkah ke pintu.
“Aku dah bawa kunci rumah, tak perlulah aku kejutkan kau kalau balik lambat nanti,” ujur Tina.
Maisara mengangguk. Memerhati Imranitutup dan Tina yang berpautan tangan menuju ke kereta di luar pagar rumah.
Imran melambai dan membunyikan hon sekali sebelum kereta Wira kelabu itu berlalu. Maisara membalas lambaian dengan senyuman panjang. Sesaat senyumannya hilang dan dia menghembuskan nafas yang kuat sambil mengunci pintu pagar dan pintu rumah. Dijatuhkan tubuhnya ke sofa
***
Sudah hampir enam bulan Maisara tinggal dengan Tina sebagai rakan serumah. Baru enam bulan dia bekerja di Kuala Lumpur. Sebelum ini, dia menganggur di kampung setelah hampir setahun kilang eletronik di tempatnya bekerja ditutup. Lama juga dia hanya membantu emaknya berniaga di warung. Betapa bosannya dia melalui hari-hari dengan rutin yang sama. Pernah cuba memohon kerja di bandar berdekatan tetapi tidak pernah dapat. Terlalu terhad peluang kerja di tempat asalnya.
Sehinggalah Imran yang telah tiga tahun lebih bekerja di kota pulang mengajaknya mencuba temu duga jawatan kerani di syarikat pengangkutan tempat Imran bekerja. Dengan hati yang terbuka dia mengikut Imran ke Kuala Lumpur. Sememangnya dia sudah bosan me-nganggur.
Kepulangan Imran bagaikan membawa tuah. Memang rezekinya di syarikat itu. Berbekalkan pengalaman sebagai kerani di kilang eletronik dahulu, dia di terima bekerja di situ.
Selain mengharapkan pekerjaan, ada sebab lain yang membuatkan dia menerima pelawa- an Imran ke Kuala Lumpur. Semenjak sekolah menengah lagi, Maisara menyimpan hati dan perasaan terhadap Imran. Putik cinta telah lama menghijau dalam dirinya kepada rakan sekolah yang juga jiran sekampung itu.
Ketika dalam tingkatan tiga, dia mengikuti aktiviti sekolah mendaki gunung tebu di Besut. Sewaktu pendakian itu, dia terjatuh dan tergolek ke bawah, mujurlah Imran sempat memaut tubuhnya. Dia telah mengalami cedera ringan dalam kemalangan kecil itu. Betisnya yang luka lebih kurang panjang dua inci telah di rawat Imran, yang juga ketua Persatuan Bulan Sabit Merah sekolah mereka. Ketika itu Imran dalam tingkatan enam.
Dia terpaku dengan cara Imran merawat lukanya, teliti dan lembut. Ekoran peristiwa itu, Imran kerap menegurnya di sekolah. Mulanya bertanyakan tentang luka kakinya dan dengan mudah terjalin kemesraan antara mereka. Sebagai jiran sekampung, biarpun jarak rumah agak jauh, mereka sudah mengenali antara satu sama lain sejak kecil lagi. Walaupun tidak rapat tetapi sentiasa bertukar senyuman.
Pulang lewat setiap hari dari kelas tambahan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) membuka laluannya untuk akrab dengan Imran. Imran juga pulang lewat kerana sibuk dengan kelas tambahan untuk menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Bertemu setiap hari di dalam bas dan berjalan bersama ketika pulang ke rumah menjalinkan persahabatan yang lebih akrab antara mereka.
Dalam diam, Maisara merasakan lelaki itu terlalu istimewa. Dia terpukau setiap kali Imran berbual dengannya. Tutur Imran itu sopan dan terjaga. Sesekali Imran menunggunya jika dia lambat keluar dari kelas. Di sekolah juga, Imran baik dan mesra dengannya, juga banyak membantunya dalam mata pelajaran yang sukar difahaminya.
Sikap Imran telah menghadirkan cinta dalam hati maisara. Namun, perasaan itu tersimpan kemas dalam sanubarinya. Tidak dizahirkannya kepada Imran. Dia malu. Bimbang seandainya Imran akan membuatkan dia kecewa. Rahsia cinta itu dipendamkan dalam lubuk hatinya.
Setelah tamat sekolah menengah, Imran melanjutkan pelajaran di universiti dan akhirnya bekerja di sebuah syarikat pengangkutan di Kuala Lumpur. Begitu pun, persahabatan mereka tidak terputus. Imran tetap mengunjungi rumahnya setiap kali balik bercuti. Masih berbual dan bergelak ketawa seperti dulu. Setiap kali lebaran, kad ucapan daripada Imran menyapa rindu Maisara. Secara tidak langsung, sikap Imran menyemarakkan lagi cinta dalam diri Maisara.
Sehinggalah kepulangan Imran enam bulan lalu, hati Maisara retak dan kecewa. Sangka-nya, Imran mengajaknya ke Kuala Lumpur kerana Imran ingin mendekatkan hubungan antara mereka. Sangkanya Imran juga berperasaan terhadapnya. Hati Maisara terluka sewaktu di- perkenalkan dengan Tina, buah hati Imran. Imran yang mengesyorkan dia tinggal dengan Tina. Kebetulan ketika itu rakan serumah Tina berpindah. Imran bimbang untuk membiarkan Tina tinggal sendirian dan diajaknya Maisara sebagai teman kekasihnya itu.
Seakan berpinar matanya pertama kali melihat kemesraan Imran dan Tina. Rupa-rupanya Imran sudah berteman. Dalam diam, dia menyayangi buah hati orang. Terasa mahu sahaja pulang ke kampung apabila mengetahui Imran sudah mempunyai kekasih. Namun, Maisara masih dapat mengawal perasaannya. Dicekalkan hatinya berhadapan situasi itu tanpa menunjukkan perasaan marah ataupun cemburu. Imran dan Tina tidak wajar dipersalahkan. Dia yang mencintai sahabat sekampungnya dalam diam.
Maisara perlu meneruskan pekerjaan di Kuala Lumpur. Tambahan pula dia ada mendengar ura-ura, Azwan, seorang inspektor polis ingin melamarnya sebagai isteri. Sewaktu dia membantu emaknya di warung, selalu sangat duda anak dua itu mengenyitkan mata kepadanya. Berita Azwan ingin merisiknya diceritakan sendiri, oleh sepupunya Atiah. Melalui mak uda, Azwan menyatakan suara hatinya. Mak uda juga nampaknya berkenan dengan Azwan dan sering memuji duda kematian isteri itu, terutama di depannya.
Maisara tahu emak dan ayahnya terpengaruh dengan kata-kata mak uda. Tidak hairan sekiranya emak dan ayahnya akan menerima risikan Azwan. Ayahnya juga ada sesekali memuji Azwan. Azwan, inspektor polis yang baik dan rapat dengan orang kampungnya. Pandai mengambil hati dan ramah mesra! Bosan Maisara mendengar ayahnya memuji duda anak dua itu.
Maisara belum bersedia untuk bergelar isteri dalam usianya sekarang. Apatah lagi menjadi isteri kepada lelaki yang tidak pernah dicintainya. Tidak sanggup rasanya untuk menjadi ibu tiri kepada dua anak yang sedang membesar.
Bagi Maisara ajakkan Imran telah menyelamatkannya daripada dipaksa berkahwin. Biarpun sudahnya dia sendiri memendam rasa kerana lelaki yang selama ini dicintainya telah berpunya.
Semakin hari Maisara makin serasi dan selesa dengan kerjayanya. Dia juga menyenangi sikap Tina yang mudah bertolak ansur. Keseronokan tinggal di Kuala Lumpur mula dirasakannya. Walaupun terpaksa berhadapan dengan Imran setiap hari. Tidak pernah Maisara cuba meluah rasa hatinya kepada Imran. Dia tidak mahu merosakkan hubungan Imran dengan Tina dan menjejaskan persahabatan mereka. Biarlah cintanya tetap rahsia. Masa yang akan menentukan segalanya. Begitulah bisik Maisara kepada dirinya setiap kali perasaan cintanya terhadap Imran bertandang.
2
“Sarapan apa pagi ni?” Tina menjengah ke dapur. Sudah bersiap kemas untuk ke pejapat. Dia menarik kerusi lalu duduk dan menyendukkan nasi goreng ke dalam pinggannya.
“Pukul berapa kau balik malam tadi? Aku tak sedar pun.”Maisara meletakkan teko minuman yang masih berasap di atas meja. Diselak sedikit lengan baju kurungnya apabila merapatkan suapan ke mulut.
“Pukul sebelas lebih.” Tina menyuap perlahan.
“Kau ke mana?” tanya Maisara.
“Lepas makan, lepak kat Dataran Merdeka. Ramai orang date kat sana semalam.” Tina tergelak kecil.
“Seronok?”
“Berdua dengan buah hati, manalah tak seronok. Kau pun carilah boyfriend. Boleh juga keluar berdua. Taklah terperuk kat rumah.”
Maisara sekadar tersenyum nipis.
“Kau tu bukannya tak lawa. Mustahil tak ada yang berkenan atau ... kau jual mahal?” usik Tina sambil tertawa kecil.
“Tak minat!”
Tina terkekeh ketawa. “Tak minat? Ataupun kau tunggu pinangan putera raja?”
“Kalau ada putera yang mahu, Stadium Bukit Jalil aku sudikan diri,” jawapnya dalam gurauan.
“Sara, sejak kau tinggal sini, aku rasa badan aku naiklah,” kata Tina sambil mengunyah perlahan.
“Kenapa salahkan aku?” soal Maisara main-main.
“Yalah, kau masak sarapan, masak makan malam yang sedap-sedap. Manalah badan aku ni tak naik. Dulu masa aku duduk seorang, jarang tau aku makan sebab malas nak keluar beli nasi bungkus kat kedai.”
“Jadi kau kena rajin bersenam.”
“Lain kali tak payah masak sarapanlah. Cukup minum pagi sahaja.” Tina merapatkan suapan ke mulut.
Maisara tersengih. Sering dia mendengar Tina merungut demikian. Panjang celoteh Tina setiap kali dia menyediakan sarapan. Dalam celoteh yang panjang, habis juga sepinggan sarapan oleh Tina. Kadang-kadang bertambah jika kena dengan seleranya.
Sesekali Imran akan menyertai sarapan bersama mereka, dijemput Tina. Keadaan akan semakin ceria dengan kehadiran Imran.
Tertawa sendiri dia teringatkan Tina. Dia sudah terbiasa menyediakan sarapan di rumah sejak di kampung lagi. Setelah menunaikan solat subuh, dia akan masuk ke dapur menyediakan sarapan untuk adik-adiknya ke sekolah. Kemudiannya membantu emaknya menyediakan juadah untuk dijual di warung. Dia sudah terbiasa bangun awal pagi.
Maisara beriringan dengan Tina ke pintu depan. Di luar rumah, Imran sudah menanti untuk sama-sama ke tempat kerja. Setiap hari, Maisara pergi dan pulang menumpang Imran. Tina yang bertugas sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat akan bertolak ke tempat kerja pukul lapan pagi. Memandu kereta Satria putih kesayangannya.
Mujurlah belum pernah lagi dilihatnya Tina marah ataupun cemburu. Tina memahami hubungan baik Maisara dengan Imran. Malah mereka bertiga sangat mesra dan baik. Sebab itu lah tidak tergamak Maisara untuk menunjukkan perasaan cintanya kepada Imran.
Biarlah masa yang menentukan segalanya.
***
Maisara tersenyum apabila melihat Imran melambai kepada Tina yang tercegat di pintu rumah. Sebentar sahaja, kereta itu keluar dari kawasan perumahan di Subang Jaya. Jalan begitu sibuk pada awal pagi. Semuanya berebut-rebut hendak menuju destinasi masing-masing. Itulah pandangan yang menjamu mata Maisara setiap awal pagi sejak enam bulan menjadi warga kota. Dia sudah mangli dengan kesibukan yang tidak pernah sunyi. Malam atau siang, semuanya hampir sama.
“Hari ni stok baru sampai. Aku mungkin balik lambat. Kau tak payah tunggu aku petang nanti,” ujur Maisara kepada Imran yang sedang memandu.
“Pukul berapa kau habis kerja hari ni?”
“Mungkin lewat petang. Malam baru sampai rumah kut.”
“Aku pun mungkin lambat juga. Ada meeting dengan Encik Adnan. Kalau sempat, aku tunggu kaulah.”
“Kalau lambat sangat, tak payahlah. Aku balik dengan teksi saja.”
“Payah nak dapat teksi petang-petang. Bahaya kalau malam-malam seorang diri. Aku tunggu kaulah,”Imran berkata.
“Imran, aku tak nak susahkan kau. Kau dah banyak tolong aku selama ni. Tolong aku dapatkan kerja. Tumpang kereta kau setiap hari.” Maisara merenung muka Imran.
“Dah kebetulan, aku tolonglah. Hidup ni tak boleh pentingkan diri.”
“Tapi, kalau dah setiap hari susahkan kau, segan juga aku.”
“Tak apa. Bukan susah dan payah pun. Aku ikhlas tolong kau. Mak kau suruh aku jaga kau di KL ni, aku pegang amanah emak kaulah.”
“Terima kasih. Nanti aku belanja kau makan,” Maisara berkata.
“Bila?” soal Imran dalam senyuman. “Rezeki jangan ditolak.”
“Ikut suka kaulah.”
“Dengan Tina sekali?”
Lambat Maisara mengangguk. Sesekali dia berharap dapat keluar berduaan dengan Imran tanpa Tina ikut sama. Sesekali dia melayani perasaannya, biarpun dia tahu tidak sepatutnya dia menyimpan hasrat sedemikian.
“Aku gurau aje. Aku yang akan belanja kau dengan Tina makan,” Imran berkata.
“Berilah aku ruang balas kebaikan kau.”
“Aku ikhlas, tak minta balasan, sara.”
“Apa salahnya aku nak hargai kebaikan kau.”
“Kalau macam tu, hujung minggu nanti kau masak. Aku pergi makan di rumah kau. Masakan kau pun sama taraf dengan restoran juga,” puji Imran.
“Boleh. Apa yang kau nak makan?” soal Maisara dengan perasaan senang.
“Ikut menu kau.”
“Aku nak ikut selera kau,” ujar Maisara dengan riang.
“Asam pedas ikan kembung, daging masak kicap.”
“Jangan lupa sambal belacan,” kata Maisara.
Tergelak besar Imran apabila Maisara menyebut sambal belacan kegemarannya. Tidak berselera dia makan tanpa sambal belacan. Maisara arif sangat tentang kegemarannya yang satu itu.”
“Kalau ada pengat pisang pun bagus juga.”
“Aku buatkan untuk kau.”
Imran melebarkan senyuman. Direnung sekilas Maisara yang memandangnya. Pandangannya mulus.
“Terima kasih, Sara. Kau ni terlebih baiklah.” Kembang hati Maisara menerima pujian Imran. Matanya merenung penuh makna wajah Imran.
3
“Kau ni 24 jam duduk kat rumah. Tak boring ke?” soal Tina kepada Maisara yang sedang melipat pakaian di ruang tamu. Awal pagi hujung minggu itu begitu cerah dan damai.
“Apa nak boring. Aku dah biasa dengan keadaan macam ni,” jawab Maisara.
“Enam bulan kau kat KL ni, aku rasa Mid Valley pun kau tak pernah jejak. Aku ajak kau keluar, kau tak nak,” sela Tina dalam ketawa.
“Aku tak suka jalan-jalan. Lagipun tak naklah kacau daun kau dengan Imran. Aku
Berikan kau ruang dengan kekasih kau.”
“Sebab tulah aku suruh kau cari boy-friend, supaya kau boleh rewang KL ni dengan boy-friend kau,”
“Biarlah, Tina. Lagipun kalau tak berjalan, tak habis duit aku.”
“Kedekut!”
Kedua-duanya terkekeh ketawa.
“Sara, apa pendapat kau tentang Imran?” soal Tina.
“Imran?”
Tina mengangguk.
“Kenapa tanya macam tu? Kau kan lebih mengenalinya.”
“Kau kan sekampung dengannya. Kenal dia sejak kecil lagi. Aku nak tahu juga perangainya macam mana.”
“Macam yang kau kenal, itulah Imran. Baik, bertolak ansur dan memahami,” puji Maisara dengan jujur.
“Sepadan dengan aku?”
Maisara mengangguk. Wajah Tina direnungnya. Betapa bertuahnya Tina menjadi buah hati Imran. Dia juga yang menggigit jari.
“Bila kau dan dia plan nak kahwin?” soal Maisara.
“Kahwin?” Tina menyoal semula.
“Yalah, bila dah bercinta, mesti nak hidup berdua, kan?” Maisara berkata.
Tina menghela nafas. Matanya dipejamkan. Apabila membuka mata, dipandangnya wajah Maisara tanpa berkelip.
“Kau rapat dengan Imran, kan?” soal Tina.
“Kenapa tanya macam tu?” Maisara hairan.
“Imran tak cerita kat kau?”
“Cerita apa?” wajah Tina direnungnya.
“Cinta aku dan Imran tak dapat restu orang tua.” Redup wajah Tina memulakan bicara setelah menarik nafas panjang.
“Tak dapat restu?” Terkedu seketika Maisara mendengar apa yang dikatakan Tina. Tidak pernah pun Imran bercerita tentang pekara itu. Selama ini setiap waktu Imran bercerita tentang hubungan cintanya dengan Tina kepada Maisara. Cerita detik pertemuan pertama mereka, detik percintaan terjalin dan pelbagai lagi peristiwa manis yang diceritakan Imran. Tidak pernah pula Imran memberitahu perkara yang dikhabarkan Tina tadi. Tidak pernah juga lelaki itu menyelit cerita duka dalam kisah cintanya dengan Tina.
“Orang tua siapa?” perlahan Maisara bertanya.
“Emak dan ayah aku.”
“Tapi kenapa?”
“Mungkin tak patut aku menceritakan hal yang boleh dianggap peribadi kepada kau. Tapi ... aku dapat rasakan kau seorang kawan yang baik. Biarpun kita baru lagi kenal, aku senang dengan kau, Sara. Kau memahami aku.”
Maisara Cuma tersenyum menerima pujian daripada Tina.
“Emak dan ayah aku tak berkenan dengan Imran. Aku dah bawa Imran jumpa mak ayah aku selepas hampir setahun kami bercinta. Masa tu aku dengan Imran memang rancang nak bertunang. Secara terang orang tua aku menghalang hubungan kami. Walaupun ayah aku sendiri yang beritahu Imran pekara ni dengan cara yang baik dan lembut. Tapi aku dapat rasa, ayah aku tak patut buat macam tu. Aku kecewa sangat. Ikutkan hati aku sanggup kahwin lari dengan Imran tapi Imran sanggup tunggu sampai mak dan ayah aku setuju.” Tina mengeluh berat selepas bercerita. Matanya berkaca.
“Apa sebabnya? Perbezaan taraf?” Maisara bertanya. Faham sangat ibu bapa zaman sekarang yang masih memandang kedudukan dalam mencari calon menantu. Imran hanyalah pemuda kampung daripada keluarga sederhana. Orang tua Tina pula menguruskan perniagaan sendiri. Jarak dan jurang antara mereka agak jauh.
“Bukan fasal tu. Mak dan ayah aku tak pernah pandang soal tu semua. Abang ipar aku Cuma anak seorang pemandu teksi. Mak dan ayah aku tak pandang taraf keluarga. Yang penting orang yang nak bela anaknya itu mempunyai pekerjaan yang baik dan bertanggungjawap.”
“Imran dah cukup syarat. Jawatannya sebagai penolong pengurus dah cukup mampu untuk memberikan kau kesenangan,” Maisara berkata lagi. Dia keliru apa yang menyebabkan Imran tidak dapat diterima keluarga Tina.
Sekali lagi Tina menarik nafas panjang. Suaranya kedengaran gelisah. “Bukan itu soalnya. Mak dan ayah aku nak jodohkan aku dengan anak sepupu ayah aku. Mereka seolah-olah memaksa agar aku terima Zakri.”
“Zakri?”
“Teman sepermainan waktu kecil dulu. Ayah Zakri, sepupu ayah aku.”
“Kau macam mana?”
“Aku sayangkan Imran. Aku nak hidup dengannya,” Tina meluahkan perasaannya tanpa segan.
“Kau dah bincang baik-baik dengan orang tua kau? Mungkin mereka boleh bertolak ansur. Semua ibu bapa mahu melihat anaknya bahagia, Tina,” lembut Maisara berkata.
“Payah aku nak ceritakan.”
“Aku sudi mendengarnya,” suara Maisara berupa pujukan.
“Emak dan ayah aku dah lama tak bertegur sapa dengan keluarga Zakri. Sebab salah faham berbelas tahun lalu, keluarga Zakri berpindah ke kampung. Memang ayah aku yang salah tapi ayah enggan mengalah dan minta maaf. Emak yang cuba jernihkan keadaan. Secara diam emak selalu bertanya khabar di kampung. Emak mahu ayah berbaik semula dengan ayah Zakri.
Aku dengan Zakri selalu berutus surat. Kami rapat di kampung dulu. Masa dia di luar negara pun, dia tak lupakan aku. Tak sangka pula dia cintakan aku. Mak dan ayah Zakri pun suka dengan pilihan Zakri.” Tina mengesat air matanya yang mengalir di pipi.
“Apabila keluarga Zakri beritahu pekara ni kat mak aku, ayah gembira sangat. Ayah kira ini adalah satu cara menebus kesilapannya dulu. Ayah ingin menjalinkan persaudaraan dengan keluarga Zakri. Ayah dan mak seolah-olah memaksa aku menerima Zakri. Kata mak aku, ini maruah keluarga.”
“Kau sendiri macam mana, Tina?”
“Aku sangat sayangkan Imran tapi aku tak sanggup lukakan hati orang tua aku. Aku tersepit, Sara. Sebab tulah aku jarang balik kampung. Malas nak bertekak hal ni dengan orang tua aku.”
“Sabar, Tina.” Maisara mengusap belakang Tina yang mulai menangis. Dia memahami keresahan Tina. Betapa berat untuk menjaga perasaan orang tersayang dan hati sendiri dalam suatu masa.
“Kalau kau jadi aku macam mana?”
Soalan Tina membuatkan Maisara terpana. Tidak tahu jawapan bagaimana hendak diberikan. Dia tidak mahu mempengaruhi Tina dengan pendapatnya. Ibu bapa ialah orang yang paling penting dalam kehidupan. Kekasih juga sebahagian dari hati sendiri. Amat sukar untuk memberikan pendapat kerana dia tidak pernah merasai situasi sedemikian.
“Banyakkan bersabar. Biar masa yang menentukan. Insya-Allah, hati emak dan ayah kau akan terbuka menerima Imran suatu masa nanti. Kita berdoa.”
“Harap-harap macam tulah.” Tina mengesat air mata di pipinya. “Aku harap sangat untuk hidup dengan Imran.”
“Zakri di mana sekarang?” tanya Maisara. Wajah Tina dikerlingnya. Tidak terduga, wajah yang segar itu memendam sebuah cerita duka.
“Masih lagi di Jerman. Aku malas nak fikirkan fasal dia. Dah lama aku tak balas surat-suratnya,” air mata Tina yang tadinya sudah kering mengalir semula. “Aku pun tak naklah Zakri taruh harapan yang tinggi, sedangkan aku menyayangi orang lain.”
“Imran tahu semua ni?”
“Dia tak tahu tentang mak dan ayah nak jodohkan aku dengan orang lain. Kau jangan beritahu Imran pekara ni. Aku tak nak dia fikir yang bukan-bukan.”
Maisara mengangguk. Amanah Tina akan dipegang kemas.
“Dah dekat pukul sebelas lebih ni. Aku masak dulu. Nanti kita makan tengah hari bersama,” pujuk Maisara kepada Tina yang masih laga menangis.
“Aku telefon Imran. Ajak dia makan tengah hari di sini.” Tina memandang Maisara.
Maisara angguk. Memang dia ingin memasak hidangan untuk Imran sebagaimana janjinya kepada lelaki itu tetapi tidak terkeluar dari bibirnya untuk memberitahu pekara ini kepada Tina. Malu, kerana segumpal rasa yang bercambah dalam hatinya untuk lelaki itu.
“Aku tolong kau di dapur,” tawar Tina.
“Tak apa. Aku buat sendiri. Kau rehatlah.” Dia menepuk lembut bahu Tina sebelum berlalu ke dapur.
***
LINCAH Maisara membuat kerja di dapur. Segalanya dilakukan sendiri dengan perasaan riang. Kembang hatinya memasak hidangan untuk Imran. Dia ingin mempersembahkan hidangan yang sempurna untuk Imran. Sayang, Imran buah hati orang, kata hatinya Teringat cerita Tina, simpatinya jatuh. Siapa menduga dalam riangnya hubungan cinta merpati sejoli itu, ada denai berduri yang terpaksa dilalui. Dari dalam hati, dia mendoakan kesejahteraan untuk Tina dan Imran. Tidak pernah dia mengharapkan hubungan Imran dan Tina retak menanti belah biarpun cintanya kepada Imran tidak pernah luntur. Biarlah cerita cinta itu mekar dalam hatinya tetapi sama sekali dia tidak akan meluahkan, kerana tahu Imran sudah mempunyai pilihan hati. Pilihan hati Imran itu ialah sahabatnya sendiri.
Inilah kehidupan. Bukan selalu kita akan mendapat apa yang diinginkan dengan mudah tanpa halangan dan dugaan, hatinya berbisik lagi. Seperti jua dirinya, jatuh hati kepada lelaki yang sudah berpunya. Entah akan dapat atau sebaliknya. Cinta! Inilah penyakitnya. Benarlah cinta itu buta. Kenapalah hati ini masih menyayanginya walhal ku tahu pastinya sukar untuk digapai? Dia termenung seketika tatkala lintasan hati teringatkan perasaan cintanya.
“Maisara, lambat lagi ke? Cik abang aku dah sampai nak rasa hidangan kau,” Tina masuk ke dapur, menuju ke peti ais dan mengeluarkan ais untuk membuat minuman sejuk.
Pantas Maisara mematikan api dapur dan mengaut sayur goreng ke dalam pinggan. Dicedok pula asam pedas ke dalam mangkuk.
“Mana Imran?” tanyanya.
“Kat depan. Aku tak benarkan dia masuk. Pergilah panggil dia. Aku nak buat air.”
“Kaulah yang panggil. Biar aku buat air tu,” pinta Maisara.
“Kau aje yang panggil. Kau dah penat masak, biarlah aku yang buat air.”
Maisara memandang wajah Tina. Mengapa Tina menyuruh dia memanggil Imran?
“Cepatlah, Sara. Imran dah tunggu tu,” kata Tina.
“Aku dah datang tanpa dipanggil. Perut ni dah lapar. Masakan yang enak dah buat aku datang sendiri.” Imran masuk ke dapur sebelum sempat Maisara memanggilnya. Ketawanya panjang sahaja sambil memerhatikan Tina yang membancuh minuman.
“Duduklah, Imran,” kata Maisara.
“Sedapnya. Siapa yang masak ni?” Imran melabuhkan punggung di kerusi dan mencapai sekeping daging goreng. Matanya dikerlingkan ke arah Tina di sisinya. Sengaja Menyindir buah hatinya.
“Saya yang masak semua ni. Kenapa?” Tina membalas renungan Imran.
“Yalah, awak kalau masak mesti kat restoran.”
“Sayang, awak ingat saya ni langsung tak pandai masak ke? Tanya sara, selalu juga saya masak ...”
“Masak mi segera dan air,” sambung Imran membuatkan Tina tersenyum pahit.
“Saya tahu saya ni tak pandai masak!” Tina berkata dengan nada sedikit merajuk.
“Kau belum rasa lagi kek keju yang Tina buat. Rasanya lebih sedap daripada yang dibeli di kedai,” sampuk Maisara apabila melihat wajah Tina sudah mencuka. Bukan sekali dua dia mendengar Imran memerli Tina yang tidak pandai memasak. Adakalanya sampai Tina merajuk disakat Imran.
“Kek keju? Aku nak makan gulai tempoyak.” Imran menjeling Tina.
Tina berpura tidak mendengar. Laju dia merapatkan suapan ke mulut. Maisara hanya memerhatikan gurauan manja Imran dan Tina dengan senyuman tawar. Entah mengapa, sejak akhir-akhir ni, wajah Imran kerap mengganggu tidurnya. Mengimbau kenangan manis zaman persekolahan yang dilalui bersama Imran biarpun sedetik Cuma.
“Tina, awak boleh masak atau tak, cinta saya tetap utuh pada awak. Tak akan dapat bertukar ganti.” Perlahan tangan Imran merayap, mengusap jemari Tina apabila dilihat wajah
buah hati mencuka.
“Nanti awak tinggal tulang sebab selalu makan lauk kedai,” ujur Tina dalam sindiran.
“Tak kisah, yang penting saya dapat hidup dengan awak hingga hujung nyawa saya,” Imran berkata dalam nada mengusik. Suapannya kembali laju ke mulut. Berselera dia menikmati masakan Maisara.
Tina merenung Imran dengan manja. Bibirnya menguntum senyuman manis.
“Nanti saya akan belajar masak dengan sara. Bolehkan, Sara.”
Maisara mengangguk. Dia tersenyum nipis melihatkan tangan Tina masih dalam genggaman Imran. Terasa hilang selera hendak meneruskan suapan. Entah kenapa, rasa cemburu mengetuk pintu hatinya melihatkan kemesraan itu.
“Sara, kau jadi balik minggu depan? Soalan Imran menyentak Maisara.
“Balik? Balik mana?” soal Maisara semula. Tidak faham dengan soalan Imran.
“Balik kampunglah, untuk majlis kahwin Huda,” jawap Imran dalam ketawa kecil. Lucu dengan wajah Maisara yang agak terkejut dengan soalannya yang tiba-tiba itu.
“Aku terlupalah.” Dia menepuk dahinya. “Memang nak baliklah. Aku dah beli dan bungkus hadiah untuk Huda.”
“Awak ikut saya balik kampung, ya. Kita jumpa mak dan ayah saya. Kalau segan nak tinggal rumah saya, boleh duduk rumah Sara.” Imran berkata kepada Tina.
“Bukan sekarang, Imran,” balas Tina perlahan. “Kita masih perlukan masa.”
“Kita dah lama kenal, Tina. Sekurangnya kita ikat tali pertunangan dulu.”
“Awak tahu kan masalah kita?” Tina merenung muka Imran dengan wajah yang gusar.
“Tapi kita kena berusaha untuk capai kemahuan kita, Tina.”
“Berilah saya masa fikirkannya.” Tina menyahut perlahan.
“Nak fikir apa lagi? Mungkin mak dan ayah saya boleh bantu kita dalam pekara ni. Kita mesti ada ikhtiar,” suara Imran sedikit meninggi.
“Saya kenal sikap mak dan ayah saya, Imran. Kita perlukan masa. Tina menuju ke singki, mencuci tangan dan melangkah keluar. Topik yang ditimbulkan Imran membuatkan seleranya hilang.
“Sampai bila?” Imran bangun mengekori langkah Tina ke ruang tamu. Nada suara lelaki itu mula kedengaran bosan.
Maisara memerhatikan dengan pandangan kosong. Dia mengemaskan pinggan dan bekas-bekas lauk ke sinki. Sambil mencuci pinggan, sesekali telinganya menangkap suara tinggi Imran dan Tina di ruang tamu. Entah apa butir percakapannya, dia tidak mendengar dengan jelas, tetapi dapat mengagak mungkin kerana Tina yang menolak pelawaan Imran untuk pulang ke kampung. Sekurang-kurangnya Tina masih tidak membelakangkan orang tuanya dan mengikut kata hati.
Selesai mengelap meja makan, dia ke ruang tamu. Melalui pintu depan, dia melihat Imran menuju ke kereta dan Tina mengejarnya dari belakang. Kereta Imran menderu meninggalkan Tina yang masih terkedu. Segera Maisara melangkah ke pintu.
“Kenapa Tina?” tanyanya apabila Tina melangkah ke dalam rumah. Wajah rakannya itu dibasahi air mata.
Tina menghempas tubuhnya ke sofa. Wajahnya resah dan keruh memandang Maisara.
“Imran tak faham ... dan tak cuba fahami aku,” ujarnya dalam sendu.
“Apa yang terjadi?” Maisara menyoal lembut.
“Dia berkeras nak bawa aku balik kampung, jumpa mak dan ayahnya.”
“Mungkin dengan cara tu, ada jalan penyelesaian yang lebih baik.”
“Aku tak sanggup belakangkan orang tua aku. Aku perlukan masa untuk pujuk mak dan ayah aku.”
“Mungkin Imran dah fikirkan cara terbaik untuk kau dan dia,” Maisara cuba memberikan pendapat dalam masalah yang melanda Tina dan Imran.
“Tak pernah pun dia bincang pekara ni dengan aku. Aku mesti pujuk mak dan ayah aku dulu sebelum perkara ni disampaikan kepada orang tua Imran.”
Maisara memandang wajah Tina. Tina memang anak yang baik, dalam hati Maisara memuji rakannya itu.
“Aku tak sanggup buat sesuatu yang mak dan ayah aku tak suka. Walaupun lambat, aku nak juga minta restu mak ayah aku.”
Maisara tersenyum kepada Tina. “Ikut dulu aku balik kampung. Bukan sebagai teman Imran tapi sebagai sahabat aku.” Dia memaut bahu Tina.
“Entahlah, Sara. Biar aku fikirkan dulu.” Tina bangun menuju ke biliknya. Maisara tidak berkata apa-apa lagi. Tidak tahu bagaimana hendak memujuk hati kawannya itu.
“Imran ....” Entah kenapa sepotong nama itu mendesir halus di bibirnya.
|