Mengawal Diri Ketika Marah
Daripada abu hurairah r.anhu:-
Bahawasanya rasulullah s.a.w bersabda:- "Bukanlah 0rang gagah perkasa itu 0rang yang mampu merebahkan 0rang lain, tetapi sebenarnya orang yang gagah perkasa itu ialah orang yang mampu mengawal dirinya ketika marah".
Hadith Riwayat Bukhori dan muslim
Keterangan:
Sifat marah adalah sifat semula jadi yang ada pada setiap insan. Dan marah itu akan menjadi baik bila kena pada tempatnya, seperti marah kerana orang lain mempersendakan agama atau merubah hukum-hukum dalam agama. Tetapi, marah yang bukan pada tempatnya adalah satu perangai yang keji, kerana marah akan mengakibatkan seseorang itu bertindak dengan terburu-buru dan mengikut hawa nafsunya dan biasanya akan menimbulkan penyesalan dikemudian hari.
Oleh itu, marah yang seperti ini hendaklah dikawal dan jangan dilepaskan, kerana apabila sesuatu tindakan dibuat dalam keadaan marah, maka tindakan itu dibuat dalam bentuk yang tidak sihat dan tidak menghasilkan faedah, bahkan akan mengakibatkan penyesalan dan kerugian.
Sebenarnya syaitan berusaha supaya kita menjadi marah. Dan apabila kita sedang marah, maka mudah sekali bagi syaitan untuk menggoda dan memesongkan kita, kerana pertimbangan yang sihat telah hilang dan akal telah diliputi oleh emosi sehingga tidak dapat berfungsi dengan baik. Maka, seseorang yang dapat mengawal dirinya daripada melepaskan kemarahannya, bererti ia telah berjaya melawan syaitan yang akan mengheretnya kejurang kebinasaan, kejahilan dan penyesalan. Dan kemampuan seseorang melawan syaitan, iaitu musuh yang tidak nampak ini, adalah lebih hebat daripada kemampuan seseorang yang hanya dapat menewaskan musuh yang nampak di mata.